22 JANUARI 2026 – Mahkamah Anak Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (MANWPL) telah menerima kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi daripada delegasi Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perdana Menteri (BKP, JPM). Lawatan ini diketuai oleh YBrs. Puan Azizah binti Mohamed Said, Setiausaha Bahagian (SUB) Khidmat Pengurusan, JPM.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memantau pengoperasian semasa jabatan serta memperkukuh kerjasama strategik antara BKP, JPM dan MANWPL dalam aspek pengurusan sumber, bajet, dan fasiliti.
Sesi lawatan telah diisi dengan aktiviti-aktiviti utama berikut:
-
Sesi Taklimat Pengoperasian: Perbincangan mendalam mengenai status semasa operasi MANWPL serta cabaran-cabaran yang dihadapi di peringkat lapangan.
-
Perjumpaan Bersama Warga Kerja: Sesi ramah mesra YBrs. Puan SUB bersama seluruh warga kerja MANWPL bagi mendengar maklum balas serta memberikan amanat berkaitan hala tuju pengurusan.
-
Tinjauan Cadangan Ruang Pejabat Baharu: Delegasi telah dibawa melawat ke lokasi cadangan ruang pejabat baharu yang bertempat di Kompleks Ujana Kewangan Labuan. Tinjauan ini penting bagi menilai kesesuaian ruang dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan efisien untuk kakitangan.
Pihak MANWPL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBrs. Puan SUB dan delegasi atas kesudian turun padang bagi melihat sendiri pengoperasian jabatan secara dekat. Segala input dan pandangan yang dikongsikan sepanjang lawatan ini amat berharga dalam memacu kecemerlangan tadbir urus MANWPL.




