PADA 14 OGOS 2025 – 1 fail sijil anak negeri telah diluluskan dan berjaya dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Sabah / W.P. Labuan di Kota Kinabalu, Sabah. Keseluruhan bilangan fail sijil anak negeri yang dipohon untuk diluluskan oleh Arkib Negara Malaysia adalah sebanyak 782 fail bagi proses pemindahan mahupun dimusnahkan.
Anak negeri ialah suatu taraf di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Malaysia untuk merujuk orang asal pulau Borneo. Berdasarkan perlembagaan persekutuan, semua anak negeri dianggap bumiputeri Malaysia namun bukan semua bumiputera dianggap anak negeri. Takrifan anak negeri berbeza mengikut negeri masing-masing. Perundangan yang berkaitan dengan hal ehwal anak negeri di bawah bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri.
Di Sabah, takrifan anak negeri Sabah masih boleh dibahaskan kerana seksyen 2 Ordinan Tafsiran (Anak Negeri) 1952 dilihat terlalu fleksibel dalam menentukan etnik yang dikira sebagai anak negeri. Menurut M.B Hooker (1980), Anak Negeri Sabah boleh dibahagikan kepada dua kategori; (i) Anak Negeri asal Sabah, dan (ii) Orang yang mendapat hak sebagai Anak Negeri Sabah kerana berkahwin dengan Anak Negeri Sabah ataupun yang telah memenuhi kehendak tafsiran tersebut. Siti Aidah Lokin (2007) pula telah membahagikan anak negeri di Sabah kepada (i) anak negeri Sabah yang asalnya beragama Islam seperti Brunei dan Bajau, (ii) anak negeri Sabah yang bukan beragama Islam seperti Kadazandusun, Lotud, Lundayeh, Dumpas dan lain-lain dan seterusnya (iii) anak negeri Sabah yang baru memeluk Islam.
Oleh hal yang demikian, 1 fail sijil anak negeri telah berjaya dipindahkan ke dalam Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Sabah / W.P. Labuan manakala selebihnya telah diputuskan dan dipersetujui oleh pihak Arkib untuk dimusnahkan dengan kaedah rincih di Pejabat Mahkamah Anak Negeri W.P. Labuan. Proses penyerahan pemindahan dokumen fail sijil anak negeri tersebut diketuai oleh Pembantu Tadbir Mahkamah Anak Negeri W.P. Labuan, Pn. Siti Nor Afidah @ Chiang Mui Yin dan En. Hisyam.