« of 5 »

PADA 10 APRIL 2025 – Sebanyak 10 fail harta pusaka telah diluluskan dan berjaya dipindahkan ke Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Sabah / W.P. Labuan di Kota Kinabalu, Sabah.  Keseluruhan bilangan fail harta pusaka yang dipohon untuk diluluskan oleh Arkib Negara Malaysia adalah sebanyak 102 fail bagi proses pemindahan mahupun dimusnahkan.

Harta pusaka ialah harta peninggalan si mati yang mengandungi harta alih dan harta tak alih. Harta seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insurans, kenderaan, perabot rumah, pakaian dan sebagainya dipanggil harta alih. Harta seperti tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, rumah, lombong, sawah, telaga dan tasik adalah disebut sebagai harta tak alih. Jika si mati meninggalkan harta dengan surat wasiat terakhir yang sah yang mengandungi cara-cara bagaimana harta pusakanya hendaklah dibahagikan antara wariswarisnya, harta pusaka itu dipanggil harta pusaka berwasiat.

Bagi orang yang bukan beragama Islam, wasiat itu adalah sah selama ia tidak mengandungi syarat-syarat yang bercanggah dengan Akta/Ordinan Wasiat dan kesahan wasiatnya tidak dicabar oleh mana-mana waris. Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih daripada 1/3 daripada harta pusakanya kepada pihak-pihak lain selain waris (dengan persetujuan atau tanpa persetujuan waris). Orang yang meninggalkan harta tanpa wasiat dipanggil harta pusaka tak berwasiat.

Oleh hal yang demikian, sebanyak 10 fail telah berjaya dipindahkan ke dalam Arkib Negara Malaysia Cawangan Negeri Sabah / W.P. Labuan manakala selebihnya telah diputuskan dan dipersetujui oleh pihak Arkib untuk dimusnahkan dengan kaedah rincih di Pejabat Mahkamah Anak Negeri W.P. Labuan. Proses penyerahan pemindahan dokumen fail harta pusaka tersebut diketuai oleh Pembantu Tadbir Mahkamah Anak Negeri W.P. Labuan, Pn. Siti Nor Afidah @ Chiang Mui Yin dan Pn. Nor Hazeezan.

Skip to content