16 JANUARI 2026 – Mahkamah Anak Negeri Labuan (MANL) dengan kerjasama Bahagian Korporat (BKP) dan Bahagian Teknologi Maklumat (BTM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Lawatan Penanda Aras ke Arkib Negara Malaysia. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta penerangan terperinci mengenai pelaksanaan Sistem COMPASS.
Objektif utama lawatan ini adalah sebagai rujukan bagi pembangunan Sistem Digital Rekod Kekal (eDIREK) untuk kegunaan MANL. Sistem eDIREK ini dirancang sebagai platform bersepadu bagi proses pendigitalan, pengurusan, dan penyimpanan rekod-rekod penting yang mempunyai nilai sejarah serta undang-undang, selaras dengan Jadual Pelupusan Rekod Fungsian MANL.
Sesi perbincangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Perbincangan di Wisma Warisan ini memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu:
-
Pembangunan Sistem: Memahami struktur dan arkitektur sistem pengurusan rekod digital.
-
Operasi: Tatacara pengendalian rekod secara sistematik.
-
Keselamatan: Langkah-langkah perlindungan data dan pemeliharaan jangka panjang rekod kekal.
Selain sesi perbincangan dan soal jawab, delegasi MANL juga dibawa melawat ke Makmal Seksyen Arkib Digital bagi melihat sendiri proses teknikal yang dilaksanakan oleh pihak Arkib Negara.
Pihak MANL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Arkib Negara Malaysia atas kesudian menerima lawatan ini. Semoga perkongsian ilmu dan kepakaran ini dapat memperkasakan lagi usaha pendigitalan rekod jabatan demi menjamin keselamatan maklumat dan warisan negara pada masa hadapan.




