MyPortfolio ialah satu dokumen rujukan rasmi yang disediakan oleh setiap penjawat awam bagi menerangkan peranan, tanggungjawab, fungsi, proses kerja dan pencapaian sesuatu jawatan. Ia merupakan dokumen asas pengurusan kerja yang membantu memastikan tugas dilaksanakan secara teratur, seragam dan selaras dengan keperluan organisasi.
MyPortfolio diperkenalkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) sebagai pengganti kepada beberapa dokumen lama seperti Fail Meja, Senarai Tugas dan Proses Kerja. Kini semua kandungan tersebut disatukan dalam satu dokumen komprehensif. Tujuan MyPortfolio dijalankan adalah untuk menjelaskan peranan dan skop tugas sebenar bagi setiap jawatan. Seterusnya, menyeragamkan proses kerja mengikut tatacara organisasi dan menyediakan rujukan jelas kepada pegawai, pengurusan dan pihak audit. Selain itu, ia dapat meningkatkan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan serta memudahkan proses induksi, serah tugas, pemantauan SKT, serta pengurusan prestasi.
Kepentingan MyPortfolio ini adalah sebagai rujukan rasmi semasa audit dalaman/luaran dan memastikan kesinambungan kerja jika berlaku pertukaran pegawai dalam jabatan. Selain itu, ia dapat mengelakkan pertindihan tugas atau kekeliruan skop kerja dan dapat membantu perancangan latihan dan pembangunan staf.




